Kek Lapis Dayang Salhah Terharu terima kunjungan TPM

2011/03/31
KUCHING: Pengusaha Kedai Kek Lapis Dayang Salhah di Kampung Gersik, di sini terharu menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Memang berbesar hati dan bersyukur kerana kita sudah berusaha lebih 14 tahun, sampai Tan Sri sudi hadir dan tahu keadaan kita,” kata Pengurus Besarnya, Dzolkarnain Saad kepada pemberita selepas lawatan itu. Muhyiddin yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Sarawak semalam turut meluangkan masa 25 minit di Kedai Kek Lapis Dayang Salhah, selain menikmati keunikan kek lapis keluarannya yang mempunyai 56 perisa. Dzolkarnain berkata, kedatangan pemimpin nombor dua negara ke kedai itu secara tidak langsung membuktikan industri kek lapis produk yang membawa nama Sarawak sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dzolkarnain yang mempunyai hubungan saudara dengan pengasas kedai itu, Dayang Salhah berkata kedai itu bukan saja mendapat perhatian pemimpin Malaysia bahkan pernah menerima kunjungan pelawat dari serata dunia.

Beliau berkata, konsep diamalkan kedai Dayang Salhah yang mesra pelanggan di samping memberi peluang pelawat merasa dan melihat sendiri proses pembuatannya.

“Kedai ini mengamalkan konsep tiga dalam satu, iaitu menghidangkan kek lapis secara percuma, menyediakan 56 kek lapis, serta memberi peluang kepada pengunjung melihat dan mencuba sendiri proses membuat kek lapis,” katanya.
Mengenai sejarah kedai itu, Dzolkarnain berkata perniagaan berkenaa bermula secara kecil-kecilan dengan diasaskan oleh Dayang Salhah dan ahli keluarganya.

Sumber : bharian.com